Saturday, January 21, 2012

ADAB-ADAB MAKMUM



1. Makmum hendaklah ke masjid atau surau seberapa segera dan sebaik-baiknya sebelum azan dikumandangkan. Maka dia akan banyak memperolehi pahala dalam menunggu, iktikaf dan solat sunat. Itulah yang dikatakan menunggu solat mendapatkan pahala seperti solat.

2. Segera berdiri apabila bilal mengucapkan iqamah dan memberikan makluman agar membentuk shaf. Hendaklah berusaha agar mendapatkan shaf pertama dan tempat utama kalau masih memungkinkan. Apabila shaf utama sudah penuh, hendaklah memenuhkan pula shaf berikutnya dengan memulakan dari bahagian tengah. Begitulah seterusnya sehingga tidak terbentuk suatu shaf baru, melainkan shaf dihadapannya sudah penuh dan rapat.


3. Hendaklah bertenang, memusatkan fikiran kepada Allah sementara menunggu imam mengangkat Takbiratul Ihram. Dalam keadaan seperti itu, sesetengah orang mengucapkan Ushalli an sebagainya untuk membantunya memusatkan fikiran sebelum memulakan solat tersebut.


4. Apabila imam telah selesai mengangkat Takbiratul Ihram, makmum hendaklah segera mengangkat Takbirratul Ihram juga agar mendapat fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam yang utama. Oleh itu bagi yang biasa membaca Ushalli?sebelum bertadbir, sebaiknya dibaca sebelum imam bertadbir atau bersama-sama imam. Hanya jangan mengangkat Takbiratul Ihram terlebih dahulu sebelum imam betul-betul telah selesai Takbirtaul Ihram. Jika telah selesai imam bertakbiratul Ihram, makmum baru membaca audzubismillahan ushalli? maka sudah terlepas dari mendapat Takbiratul Ihram bersama imam yang utama.


5. Hendaklah makmum merendahkan suaranya sekadar yang hanya didengari oleh dirinya sendiri agar tidak mengganggu jemaah yang lain. Sama ada ketika membaca Ushalli, doa, iftitah, fatihah, takbir intiqal dan lain-lain.


6. Hendaklah makmum mendengar bacaan imam seperti Fatihah dan surah. Dikehendaki pula agar makmum ikut membaca fatihah imam di dalam hatinya, untuk menambah kekusyu'an.
7. Makmum hendaklah mengerjakan ruku', iktidal, sujud, bangun dari sujud, duduk di antara dua sujud dan sebagainya setelah imam mengerjakannya. Contohnya jika imam hendak sujud, biarlah sujudnya sempurna iaitu dahi telah mencecah lantai, barulah makmum boleh bergerak. Demikian juga makmum hendaknya mengucapkan takbiratul ihram setelah imam mengucapkannya. Rasulullah s.a.w.memberikan amaran kepada makmum yang mendahului imam ketika mengangkat kepalanya dari sujud. Beliau bersabda ertinya: "Apakah tidak takut orang-orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, bahawa akan dipusing oleh Allah kepalanya menjadi kepala keldai?." (Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah)


8. Jika imam membuat kesalahan, hendaknya makmum menegurnya dengan bacaan tasbih "Subhanallah", jika makmum lelaki. Jika makmum perempuan dengan menepuk tangan seperti yang dibenarkan oleh syara'.

ADAB TIDUR



1. Jangan Terlalu Kenyang—Mulai dari waktu mengadap hidangan makan malam. Jangan makan terlalu kenyang kerana perut yang penuh juga tidak elok untuk kesihatan. Perut yang kenyang akan menyebabkan cepat berasa mengantuk dan susah untuk bangun tidur


2. Berwuduk—Gosoklah gigi selepas makan atau sebelum masuk tidur. Biasakan diri mengambil air sembahyang sebelum tidur kerana malaikat menyukai orang yang selalu berwuduk.


3. Mengingati Kesilapan—Sebelum meletakkan kepala ke tempat tidur, cuba ingat-ingatkan semula apa yang telah dilakukan sepanjang harian sejak awal pagi tadi. Kalau banyak perkara yang baik, berazamlah untuk terus mengekalkan perbuatan yang baik itu. Tetapi kalau banyak perkara yang tidak baik, berazamlah untuk tidak mengulangi lagi. Beristigfarlah memohon keampunan dari Allah.


4. Mahu Bangun Awal— Kalau masih ada waktu, luangkan sedikit masa membaca sebaris dua ayat-ayat Al-Quran. Atau memadai membaca surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas. Digalakkan membaca surah Al-Kausar sebanyak tiga kali sambil niatkan di dalam hati mahu bangun awal.


5. Membaca Doa— Sampai masa melelapkan mata, bacalah doa ini terlebih dahulu: Maksudnya: "Dengan namaMu ya Allah, aku hidup dan aku mati." Tidurlah dengan mengiring ke kanan dan seeloknya menghadapkan muka ke kiblat.


6. Bangun Pagi—Jika terjaga di tengah malam, ucapkanlah istigfar atau memuji kebesaran Allah. Setelah terjaga pada waktu paginya bacalah pula doa: Maksudnya: "Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mematikan kami. Kepada-Nya kami akan dibangkitkan."


7. Niat Yang Baik– Tanamkan dalam hati untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya pada hari itu atau lebih baik daripada semalam. Niat yang baik juga dinilai sebagai amal kebajikan di sisi Allah.

Adab-adab Buang Air Besar dan Air Kecil



1. Meminta izin sebelum masuk ke dalam jamban dengan cara mengetuk pintunya atau menunggu di luar beberapa ketika, terlebih-lebih lagi jika jamban itu kegunaan awam. Jangan masuk kecuali setelah benar-benar mahu buang air.


2. Mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar. Dan ketika masuk disuruh membaca doa.


3. Membaca doa sebaik sahaja keluar dari jamban. Doanya ialah: "Aku mohon keampunan-Mu, segala puji bagi Allah yang telah menjauhi kesakitan dari aku dan yang telah memberi kesihatan kepadaku".


4. Jangan mengadap kiblat dan jangan pula membelakanginya ketika qada' hajat itu sebagai menghormati Kaabah.


5. Jangan membawa sesuatu yang padanya tertulis nama Allah, kitab al-Quran atau sebahagian dari ayat-ayatnya.


6. Dilarang bercakap ketika qada' hajat tidak boleh memberi salam, menjawab salam dan berzikir secara lisan.


7. Jangan kencing dalam keadaan berdiri kerana ditakuti ia terkena percikan kencingnya.


" Daripada Aisyah r.a katanya:' Siapapun yang memberitahu kamu bahawa Rasulullah s.a.w pernah kencing berdiri, maka janganlah membenarkannya (jangan mempercayainya)".